Labels

Pages

Saturday, November 20, 2010

AIDILADHA 1431H DI PERKAMPUNGAN ISKANDARIAH



ISKANDARIAH 16 Nov: PMRAM Cawangan Iskandariah dengan kerjasama Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) mengadakan Solat Sunat Aidiladha secara berjemaah di Dewan Zajlatul Abidah, bermula jam 7.00 pagi. Kehadiran jemaah memenuhi dewan dan dimulai dengan laungan takbir raya yang menggegar di jiwa setiap insan. Seterusnya kami bersama-sama menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Saudara Akli Bin Ahmad. Setelah itu, Imam Solat Sunat Aidiladha menyampaikan khutbah Raya yang penuh dengan nasihat dan pengajaran yang baik. Dalam khutbah tersebut khatib menyentuh berkenaan dengan isi kandungan khutbah Haji Wada’ baginda Rasulullah S.A.W. Antaranya mengenai hak darah, harta sesama muslim, persamaan darjat sesama muslim, hak dan maruah wanita dan lain-lain lagi. Khatib turut mengingatkan jemaah yang hadir perihal kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anak baginda, Nabi Ismail A.S. serta pengajaran yang dapat di ambil daripadanya untuk dijadikan panduan kepada jemaah dalam kehidupan seharian.
Majlis diteruskan lagi dengan perutusan Aidiladha Presiden PMRAM 2010 yang disampaikan oleh pemangku wakil mandub PMRAM DPMI, saudara Mohd Khairul Nizam Md.Rozali dengan penuh penghayatan. Seterusnya AJKT PMRAM Cawangan Iskandariah memenuhi jemputan ke rumah terbuka ahli sebanyak 7 buah rumah.Setelah selesai semuanya,kami pulang ke markaz DPMI.
Berikutnya, pada hari raya kedua acara sembelihan binatang korban dan aqiqah dilaksanakan dengan penuh kesyukuran di Bait Mona Mandarah, dimulai dengan ucapan Pengarah PAKAR x5 oleh saudara Muhammad Rezman Mohd Sobery. Seluruh ahli Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) mengambil tempat dalam gotong-royong tersebut dengan ukhuwah yang telah dibina sehingga selesai pengagihan daging korban ke setiap rumah ahli. AJKT DPMI pula meneruskan lagi ziarah raya ke rumah terbuka ahli dan juga beberapa rumah mutazawwijin di Iskandariah.
PAKAR x5 diakhiri pada hari raya ketiga dengan solat Zohor berjemaah dan bacaan tahlil. Seterusnya, tetamu yang hadir dikalangan ahli diraikan dengan hidangan juadah yang disediakan oleh AJKT DPMI dan UMI. Turut hadir ke kenduri korban dan aqiqah tersebut adalah 3 orang wakil Badan Pengurus PMRAM iaitu saudara Abdul Aziz bin Ali.Mohd Faizzudin bin Ghazali,dan Mohd Solehuddin bin Mohd Safien serta 3 orang wakil AJKT HEWI PMRAM,saudari Samihah binti Abdullah,Atiyqah binti Yusoff dan Nik Norazma binti Nik Abdullah, jiran terdekat kami PMRAM Cawangan Damanhur serta pelajar perubatan memeriahkan lagi suasana hari raya Aidiladha. Sasaran hampir 200 orang tetamu yang hadir ke majlis. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi dengan nikmat Iman dan Islam kami merasai manisnya nikmat kesatuan dan ukhuwah yang terjalin antara ahli PMRAM Cawangan Iskandariah kini.
Kami dibarisan AJKT DPMI mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli PMRAM Cawangan Iskandariah yang menjemput kami dan menghidangkan pelbagai juadah raya. Mohon maaf jika ada rumah-rumah yang tidak dapat kami ziarahi pada hari raya tersebut. Insyaallah kami akan teruskan dengan jaulah AJKT yang akan datang. Harapan kami dengan nikmat kesatuan dan ukhuwah ini dapat dipereratkan lagi dalam lindungan Allah SWT. Semoga dengan sambutan hari raya ini, sama-sama kita mengingati sirah yang mana pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim A.S.

No comments:

Post a Comment