Labels

Pages

Thursday, February 16, 2012

MAHASISWI ISKANDARIAH DITIMPA MUSIBAH


ISKANDARIAH, 16 FEBRUARI : Seorang mahasiswi tahun 3 Syariah Islamiah, Nur Fatin Adilah binti Azizan yang berasal dari negeri Johor telah dimasukkan ke Hospital Al-Imam, Assofirah semalam apabila mengadu kurang sihat sejak pagi. Beliau yang ditemani sahabat serumah bergegas ke hospital setelah keadaan kesihatan dilihat semakin membimbangkan.

Setibanya di hospital, beliau dimaklumkan oleh doktor yang merawat bahawa beliau perlu segera dibedah kerana disahkan mengalami komplikasi di bahagian apendiks. Setelah mendengar penerangan daripada pihak hospital, beliau bersetuju untuk dibedah. Pengerusi DPM Iskandariah, saudari Sumaiyah binti Zakaria yang ditemani Timbalan Setiausaha (Unit Kebajikan & Kemanusiaan) saudari Syakirah binti Muslim sempat bersua dengan beliau sebelum dibedah. Turut hadir, Exco Dakwah UMI saudara Mohd Hafifi bin Abdullah.

Sekitar jam 11.00 malam, beliau telah dimasukkan ke dewan pembedahan. Tempoh masa pembedahan yang dianggarkan mengambil masa 1 jam telah berlanjutan sehingga 3 jam apabila beliau perlu dibedah untuk kali kedua setelah dikenalpasti mengalami komplikasi di bahagian ovari.

Dengan izin Allah S.W.T , beliau selamat dibedah sekitar jam 2.00 pagi dan ditempatkan di wad pesakit luar. Kos rawatan bagi kedua-dua pembedahan tersebut mencecah LE 2500. Alhamdulillah, walaupun masih belum dibenarkan pulang, keadaan beliau berada dalam keadaan stabil. Seluruh kepimpinan PMRAM Cawangan Iskandariah menyeru kepada sahabat-sahabat untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diberi kesembuhan dan perlindungan daripada Allah S.W.T. Justeru, pesanan buat seluruh ahli supaya mengambil cakna berkenaan kesihatan dan keselamatan di mana jua berada.

No comments:

Post a Comment